Menonton siaran langsung Suara Siswa di RTM TV1 dari jam 10 - 11 malam tadi membuat saya terpanggil untuk memberikan komen di blog ini. Pada pandangan saya setelah mengikuti keseluruhan perbincangan ternyata tidak dapat menimbulkan cadangan yang benar-benar mantap. Cadangan bagaimana untuk melahirkan mahasiswa yang berinovasi hanya disentuh secara terlalu umum. Apakah mekanisma/tools yang perlu dilaksanakan segera? tidak berjaya dikupas dan dirumuskan.
Sepanjang berkhidmat dengan kerajaan selama 25 tahun, saya sendiri mengakui di dalam perkhidmatan awam pun perkara inovasi amat kurang ditekankan. Cumanya sekarang ini tahun 2010 bila dah menjadi slogan serta gesaan pimpinan atasan barulah nak memulakan diskusi serta memperlihatkan kesungguhan. Walhal Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (AIPA) MAMPU sudah puluhan tahun diperkenalkan. Setiap tahun ada pemenang-pemenangnya. Begitu juga setiap tahun ada pemenang-pemenang berbagai anugerah Kualiti peringkat kebangsaan anjuran MAMPU. Tentu sekali pemenang-pemenangnya merupakan organisasi yang berinovasi tinggi. Ternyata yang kurangnya adalah pendedahan tentang anugerah-anugerah tersebut dibuat di media-media TV. Malahan liputan mengenai pemenang-pemenang anugerah tidak dibuat secara eksklusif. Yang demikian ciri-ciri organisasi yang berinovasi tinggi tadi tidak menjadi teladan kepada organisasi lain.
Bagi saya berbicara tentang inovasi tidak lengkap jika tidak mengambil Jepun sebagai contoh. Kita ambil satu syarikat Toyota saja pun akan terbayang beribu-ribu inovasi telah dihasilkan olehnya.
Rumusan yang ingin saya ketengahkan adalah kita perlu memahami semua mekanisma/tools yang digunakan oleh Jepun untuk kita memulakan gerak inovasi di Malaysia. Berbagai langkah sebenarnya telah digerakkan oleh KSN Tan Sri Ahmad Sarji pada awal 1980an menerusi Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam(PKPA) namun ianya tidak bergerak dengan jayanya. Saya belum ada terbaca tentang ulasan sejauhmana kejayaan usaha yang telah digerakkan melalui berbagai pekeliling (PKPA)tersebut. Sesuatu yang menjadi tanda-tanya adalah mengapakan ketika itu 5S tidak ditekan lagi. 5S hanya dikenalpasti suatu mekanisma/tool yang sangat berkesan sebagai pemangkin inovasi serta peningkatan produktiviti perkhidmatan awam pada 2010 oleh MAMPU. Walhal ianya telah diamal di Jepun lebih 20 tahun yang lalu. Apa pun baru-baru ini PM kita menggesa sekali lagi agar kita meneruskan dasar pandang ke Timur. Marilah kita lihat semula semua pekeliling (PKPA) yang telah dijadikan sebagai panduan kearah kemajuan serta inovasi. Mungkin dari situ barulah kita boleh menjawab 'Berinovasikah Pegawai Perkhidmatan Awam kini?' seterusnya 'Berinovasikan Mahasiswa kini?'.
Saya tertarik dengan hujah panel dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) semasa perbincangan siaran yang saya tonton tadi iaitu 'Bagaimana mungkin mahasiswa dapat melahirkan inovasi tanpa kefahaman tentang cara untuk menghasilkannya'. Yang jelas mahasiswa di kolej pastinya tidak tahu akan kewujudan PKPA yang saya sebutkan itu apatah lagi mengamalkan apa yang tertulis dalam PKPA tersebut.
No comments:
Post a Comment