Kebersihan diri tentunya disokong oleh kebersihan persekitaran, ini termasuklah rumah, pejabat dan persekitarannya. Justeru, di antara ciri-ciri penting rumahtangga muslim ialah suasana bersih yang merangkumi makan minum, ruang-ruang rumah, peralatan yang digunakan dan apa saja kelengkapan yang terdapat di dalam sesebuah rumah itu.
Persekitaran yang bersih juga dititikberatkan. Ia merangkumi kawasan rumah, pejabat, hutan belantara, bukit, gunung dan juga lurah. Ia juga merangkumi kota dan desa. Tiada longgokan sampah di halaman rumah, tiada longkangnya yang tersumbat, tiada rimbunan pokok yang terbiar atau hutan liar yang mengganggu lahirnya suasana segar dan indah. Selain dari itu, di luar kawasan rumah, jangan ada sungai atau anak-anak sungai yang tercemar kerana akibatnya akan berlaku keracunan airnya, jangan ada hutan belantara yang menjadi tapak pembuangan sampah atau sisa perindustrian kerana ini akan menyebabkan rosaknya flora dan fauna, merebaknya pelbagai penyakit dan lain-lain yang memberi kesan kepada kemorosotan kesihatan manusia.
Menghayati konsep kebersihan ini adalah tanggungjawab kita semua, sama ada individu, masyarakat dan negara. Untuk menampilkan dirinya sebagai kekasih Allah, seseorang insan dikehendaki mengawasi dirinya sentiasa berada dalam keadaan yang bersih (maksud ayat 108, surah al-Taubah dan ayat 222, surah al-Baqarah). Undang-undang berkaitan kebersihan persekitaran perlu dilaksanakan dengan tegas serta berkesan. Kerakusan manusia dalam mengejar keduniaan antara penyebab utama undang-undang ini perlu diperketatkan dengan merujuk kepada masalahah umat dan negara berpandukan kepada kaedah masoleh mursalah dan sadd al-dhari`ah dan satu kaedah lain yang menyebut Tindakan seorang pemerintah adalah terikat dengan maslahah umat. Justeru pemerintah harus melaksanakan apa bentuk undang-undang yang boleh menjaminkan kebersihan alam sekitar dan negara.
Konsep kebersihan yang kulli ini jika dihayati, maka akan lahirlah alam yang bersih, segar dan sihat. Bagi seorang muslim, tentunya: Kebersihan adalah sebahagian daripada iman menjadi tunjang kepada perjuangannya dalam menegakkan kehendak agamanya di permukaan bumi ini. Dengan erti bahawa kekotoran itu adalah salah satu di antara musuh utama agamanya.
Rujukan lanjut--->link
No comments:
Post a Comment